Rabu, 19 Jun 2013

Makan Malam di Restoran Gurih 7

 
15 mei 2013 jam 8.00 makan malam di Restoran Gurih 7 di Jalan Pajajaran, no 102, Bogor. Gurih 7 adalah sebuah restoran yang terkenal dengan gaya Sundanya. Sebaik sahaja masuk ke dalam restoran saya terasa pelik kerana kerusi meja yang ada kosong dan suasana lengang, tiba2 kami dihampiri oleh seorang staf restoran meminta kami mengambil tempat di bahagian bawah. Kami di bawa melalui sebuah jambatan kayu, seterusnya menuruni tangga, tiba2 kami nampak sebuah restoran yang besar yang mempunyai tatahias daripada buluh, seolah2 terapong  di dalam air. Kami terus dipandu melintasi tali air dengan memijak batu2 besar yang disusun, seterusnya kami mengambil satu anjung sebagai tempat makan kami. Di sini cara makan adalah bersila dan makanan dihidangkan di atas meja berkaki rendah. Anjung tempat  kami duduk ini menganjur ke dalam air seolah2 seperti pelantar, suasana kedesaan amat terasa, tambahan pula terdapat air terjun buatan menjadikan suasana nyaman dan santai.
 

 
 
 
 
Imam Baweh, Soriah, Lina, Aziz, Hj Hanafi, Dato; Mansur dan Pak Haris
Duduk bersila di sebuah anjung Gurih7


Nasi Timbel masakan Sunda: Nasi panas dalam gulungan daun pisang, ayam bakar, tempe goreng, tauhu goreng, ulam2an.
Set Nasi Timbel juga termasuk sayur asam dan sambal. Makan dengan tangan, air basuh tangan disediakan. Minman teh o panas diberi secara percuma.
 



 
Makan Malam kami kali ini adalah masakan Sunda yang dinamakan sebagai Nasi Timbel. Nasi Timbel terdiri daripada nasi panas yang dibungkus/ digulung dalam daun pisang, tempe goreng, tahu goreng, ayam bakar, ulam2an, sambal dan sayur asam. Minuman wajib dan percuma di kebanyakan restoran di Bogor ialah teh o panas.

Paralayang di Bukit Gantole, Puncak

 
Bukit Gantole atau Bukit Paralayang terletak di Puncak iaitu berhampiran dengan mesjid Atta'awun. Tempat ini menjadi tumpuan kepada peminat sukan lasak paralayang, ramai juga yang datang ke sini semata-mata untuk melihat keindahan permukaan bumi Puncak yang bergunung ganang dan menghijau oleh ladang teh yang terhampar menutupi bumi. Disebabkan lokasinya ditempat yang tinggi maka pemandangan yang luas terbentang dapat dinikmati. Untuk sampai ke puncak bukit Gantole ini tidaklah sukar dan memenatkan kerana mempunyai jalan yang baik dan kenderaan boleh sampai ke atas. Untuk masuk ke sini dikenakan  bayaran  Rp 5,000 seorang.
 
 
15 Mei 2013 pada jam 3.30 ptg kami ke Bukit Gantole  setelah  menyempurnakan solat jama' Zohor-Asar di mesjid Atta'awun. Setelah membeli tiket, kenderaan kami dibenarkan masuk menuju atas bukit, kami keluar dari kereta tetapi  Pak Haris turun semula untuk mencari tempat letak kereta, ketika itu terlalu banyak kereta. Di atas bukit Gantole terdapat banyak kedai makan dan cenderamata. Untuk menyaksikan paralayang kami perlu naik lagi ke atas puncak bukit dengan melalui tangga yang telah sedia ada kerana di atas puncak bukit terdapat landasan pacu bagi paralayang.
 
 
Kami menyaksikan cara bagaimana paracut paralayang dibentangkan di atas landasan pacu,  seorang jurupandu membantu mengikat dan mengunci tali paracut pada diri peserta paralayang, peserta berada pada kedudukan di hadapan, kemudian jurupandu pula mengambil tempat di belakang dan mengikat serta mengunci tali paracut pada dirinya, setelah berpuashati dengan aspek keselamatan, kedua-dua mereka berjalan pantas seterusnya berlari-lari kehadapan menuju bibir landasan pacu, semasa mereka bergerak ke hadapan, tali paracut menjadi tegang menyebabkan paracut kembang dan terangkat ke atas dan pada ketika itulah peserta paralayang dan jurupandunya  terapung dan terbang melayang2 mengikut pergerakan angin. Mereka terbang melayang selama 10-15 minit sebelum mendarat ditempat yang telah ditetapkan iaitu di lereng Gunung Mas. Disebabkan terlalu ramai yang ingin menyertai paralayang ini maka sebaik sahaja paralayang di hadapan melayang, paralayang yang menunggu pulak bergerak dan begitulah seterusnya, satu demi satu terbang melayang. Pada satu masa kelihatan 4-5 paralayang berada melayang . Dan dalam masa yang sama sebuah kenderaan datang membawa paracut paralayang yang telah selesai digunakan untuk digunakan semula oleh peserta yang sedang menunggu giliran. Kami dapat menyaksikan dari landasan pacu akan keindahan alam di bawah sana yang dipenuhi oleh ladang teh.
 
 
 
 
 









Dihadapan peserta paralayang, manakala yang di belakang adalah jurupandunya.


Landing spot di lereng Gunung Mas.

Bayaran untuk menyertai paralayang sememangnya mahal:
seorang peserta: Rp 300,00
Group 5 orang: Rp 275,000 seorang
Group lebih 5 orang: Rp 250 seorang.

Tajur - Pusat Kasut dan Tas



14 Mei 2013 pada jam 7.40 pagi driver kami Pak Haris menjemput kami di Villa Rancamaya untuk ke Kampung Tradisonal Sindang Barang tetapi Pak Haris kata tempat tu terlalu jauh ambil masa 2 jam untuk ke sana, lagi pun jalan raya macet katanya. Kami dapati Pak Haris tak tahu tempat tersebut sebab dia orang Palembang dan tinggal di Jakarta, dia kurang arif tempat2 pelancongan di Bogor. Dia kata biasanya pelancong yang dia bawa suka shopping seperti di Tajur. Saya dan Adlina mengambil keputusan ke Tajur saja kerana kesuntukan masa, lagipun Tajur memang dalam senarai itinerary kami.
 
 

 
Ini Pak Haris, itulah cara dia mula2 memperkenalkan dirinya...kelakar!

 
Tajur memang terkenal sebagai pusat penjualan hasil kerja pembikinan tas dan kasut, salah satu pusat one stop shopping dikenali sebagai SKI , Katulampa. Ia terletak agak terpisah dari outlet2 lain yang berada disepanjang jalan Tajur. Dari Rancamaya ke Tajur tidaklah jauh sangat cuma ambil masa lebih kurang 30 minit dengan mengambil kira kesesakan jalan raya. Apabila sampai di Tajur, tempat yang pertama kami kunjungi ialah SKI  (Sumber Kencana Indah) Tas Tajur, merupakan dua blok bangunan 2 tingkat. Tingkat bawah adalah bahagian tas dan tingkat atas merupakan bahagian pakaian dan beg pakaian. Saya tak beli apa2, cuma Adlina beli pakaian untuk cucunya. Sebenarnya terdapat tanda larangan mengambil gambar, tetapi saya buat2 tak perasan, tapi akhirnya saya mendapat  teguran daripada salah seorang staf di situ. SKI merupaka komplek shopping berkonsepkan rekreasi ada kemudahan surau, tempat makan, kolam ikan, dan tempat permainan kanak2. Masa kami di sini tidak ramai pengunjung mungkin bukan hari cuti, pulak tu masih awal pagi.







 
Lina bukan main posing lagi dengan salah satu beg yang dia berkenan.
 

Tempat Lina beli pakaian cucunya.
 

 Seterusnya kami ke Rumah Sepatu Tajur yang juga terletak dalam kompleks SKI, iaitu bersebelahan dengan Tas Tajur. Rumah Sepatu Tajur mengambil ruang di tingkat bawah sahaja, manakala di tingkat atas merupakan food court. Kami tidak beli apa2 di sini walaupun ada kasut yang kami berkenan tetapi saiz yang sesuai untuk kami pulak tidak ada.


Restoran, kolam ikan dan tempat rekreasi di kompleks SKI





 
Seterusnya kami beredar ke outlet2 lain di Jalan Tajur, di sini terdapat 50 toko kasut dan tas, ada yang merupakan toko besar dan ada juga yang kecil. Mula2 kami masuk satu outlet yang besar dinamakan Stasiun Tas.


 

 

 




Satu lagi kelompok outlet di jalan Tajur ialah terletaknya Tajur Fashion dan Terminal Tas yang  nerada di seberang jalan Tajur yang sibuk. Kedua-dua tempat ini pusat outlet yang besar, di samping itu berhampiran dengannya terdapat Outlet House of Donatello, Outlet Bogor Tas, Green Bag, Dunia Tas dll

 
Hampir semua jenis tas terdapat di kawasan Tajur ini dari tas tangan, dompet, beg sekolah, beg sandang, beg pakaian dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa di sini beg yang dijual daripada pelbagai jenama yang terkenal di dunia tetapi ianya bukan original. Dari segi kualitinya juga berbeza2, lazimnya kualiti menentukan harganya. Saya tidak beli apa2 di sini, bukannya saya seorang yang pentingkan originality tetapi saya rasa tidak ada keperluan untuk membelinya.

Taman Bunga Nusantara

 
Taman Bunga Nusantara (TBN) antara tarikan pelancong dalam dan luar negara, dirasmikan oleh Presiden ke2 Republik Indonesia Soeharto pada 10 Sept 1995. TBN mempunyai keluasan 35 hektar, yang terdiri daripada taman bunga seluas 23 hektar, Alam Imaginasi (tempat permainan keluarga) 7 hektar dan 5 hektar lagi adalah kawasan villa. TBN beroperasi pada setiap hari dari jam 8.00pagi hingga 5.00ptg.
 
15 Mei 2013, selepas sahaja selesai melawat Taman Safari di Cisarua, Saya dan Adlina mengunjungi TBN , perjalanan kami dengan van Kia Pregio yang dipandu oleh Pak Haris mengambil masa lebih kurang 45 minit, Pak Haris kelihatan kurang gembira kerana katanya diluar dari kawasan Bogor. Kami menyelusuri Jln Puncak, lewat Puncak Pass, lewat Taman Matahari, dari  mendaki kami ikut jalan menurun serta berliku2,  selepas itu masuk simpang kiri melalui kawasan perkampungan Desa Cibadak, terdapat sawah padi, di kiri dan kanan jalan terdapat banyak pusat nerseri pokok bunga, seterusnya kami sampai ke Desa Ciwalen dan akhirnya Desa Kawung Luwuk iaitu lokasi TBN, objek yang pertama kami nampak sebagai mercu tanda TBN ialah tugu maskot TBN iaitu Angsa Hitam atau cygnus attratus.
 
 
 
 
 
 
Kami sampai pada jam 12.00 t.hari dan terus ke tempat letak kereta di hadapan kaunter tiket. Tanpa membuang masa, kami terus beli tiket dengan harga Rp 25,000 seorang, kalau tiket dan dotto train harganya Rp30,000 tetapi dotto train mula beroperasi pada pukul 1.00 , kami tidak cukup masa untuk menunggu. Menurut penjual tiket di kaunter, kalau tidak mahu jalan kaki, di dalam ada perkhidmatan kereta wira wiri dan boleh beli tiket di kaunternya dengan harga Rp4,000 sahaja.
 
 
 
 
 
 
 
 

Masuk sahaja gate TBN, kami terus nampak replika gergasi/ topiari burung merak yang digubah daripada pokok pelbagai jenis bunga dan pelbagai warna, memang cantik dan terjaga rapi.



Me and Adlina


 

Ini bangunan pentadbiran dan kaunter tiket, dilihat dari arah dalam taman. Di situ juga ada kolam dan petak2 bunga pelbagai warna.

Berhampiran dengan topiari merak kelihatan kaunter wira wiri, kami terus membeli tiket dengan harga Rp4,000 seorang.



Kami terus naik wira wiri sambil melihat dan mengambil gambar tempat2 menarik yang terdapat dalam taman ini.



hamparan bunga

Dinasour
 
Sepasang dinasour berwarna merah dan hijau
 
 





Bom bom boat

Taman Labyrinth
Taman Peranchis

 Taman Bali

 
Jam Taman


 
 
 Taman Air


 
kawasan piknik
 
Taman Hamparan Bunga



Kami sekejap sahaja di TBN, cukup sekadar satu pusingan. Apabila kami keluar kelihatan disebelah kiri kawasan letak kereta terdapat deretan gerai jualan pelbagai cenderamata dan  kerepek/ole-ole khas Bogor . Kami sempat beli kerepek pisang salai bersalut madu, kerepek kacang kuda dan kerepek bayam.


Dalam perjalanan keluar dari kawasan TBN, saya ternampak pokok yang aneh ini dan minta Pak Haris berhentikan kereta untuk ambil gambar dan bertanyakan nama pokok itu kepada penjaga pondok keselamatan di situ.  Nama pokok ini ialah Gardelia. Pokok ini bukan dalam kawasan TBN tetapi di hadapan pintu masuk Jabatan Penyelidikan Pertanian, bersebelahan dengan TBN.

 
Sebelum ini saya pernah terjumpa pokok ini di padang golf Yani, Surabaya.