Tempat penginapan untuk malam pertama kami di Bogor ialah di Rancamaya Golf Villa. Tempahan dibuat melalui AGODA, saya memilih Rancamaya Golf villa kerana selesa untuk pemain2 golf, sebaik sahaja menikmati sarapan pagi di Golf Club Restaurant, pemain golf boleh terus tee off, tanpa membuang masa, maklumlah Bogor terkenal sebagai Kota Hujan, sekiranya hujan pemain golf yang tee off awal pagi, masih ada banyak masa untuk menyelesaikan permainan tetapi sebaliknya kalau tee off lewat dan hujan pulak, permainan terhenti begitu sahaja, tentulah rugi dan kecewa. Lagipun para golfers tidak perlu menggunakan van sewaan kami untuk ke kelab golf, van boleh digunakan oleh peserta yang tidak main golf melancong ke tempat2 pelancongan atau pergi shopping. Bukankah ini menjimatkan? Sebab lain saya memilih Rancamaya Golf Villa tentulah disebabkan ianya sebuah hotel bertaraf lima bintang dan rating yang diberikan oleh tetamu di tahap yang tinggi, iaitu 8 daripada 10.
Rancamaya Golf Villa memang mengkagumkan, rekabentuk villa cantik, hiasan dan tata aturnya ekslusif, berhampiran dengan kolam renang. Saya menginap di villa satu bilik tidur, manakala peserta yang lain menginap di villa 2 bilik tidur. Semua ruang/ bilik di villa ini besar2 belaka. Bilik tidur dilengkapi dengan sebuah katil king size, bertilam tebal&empuk, bantal yang gebu dan menggunakan fabrik kapas berkualiti tinggi berwarna putih bersih. Ruang tamu pulak dilengkapi dengan sofa, tv lcd, meja makan, peti sejuk, sudut coffee, dan mempunyai banyak tingkap serta pintu gelonsor menuju ke patio dan taman. Bilik mandinya pula lengkap dengan bath tub, shower room, 2 sinki dan tandas di bilik berasingan. Towel dan jubah mandi yang disediakan juga berwarna putih bersih, besar dan tebal.
Rancamaya Golf Villa terletak bersebelahan dengan golf club, di bahagian hadapan kelihatan padang golf yang menghijau serta berlatar belakangkan puncak Gunung Salak, memperlihatkan satu pemandangan yang amat menawan. Semasa di pagi hari, saya duduk di taman, saya dapat rasakan hembusan angin pagi yang segar dan dingin , tambahan pula kedengaran bunyi burung dan unggas lain serta rama2 pelbagai warna berterbangan ke sana ke mari, saya rasa sungguh nyaman, aman, dan damai.
Pihak villa menyediakan perkhidmatan buggy untuk membawa golfers dan non golfers ke tempat sarapan di restaurant golf club. Sarapan yang disediakan ada dua pilihan sahaja iaitu sarapan tempatan dan sarapan antarabangsa, kesemua kami memilih nasi goreng yang ada telor, ayam goreng dan salad secara ala carte. Minuman pula sama ada kopi atau teh, semua kami memilih kopi. Walaupun tidak banyak pilihan, namun makanan yang dihidangkan kelihatan hebat dan rasanya sedap dan kami berpuas hati.